Klik2 sahaja

Sunday, December 9, 2012

Si Penjual Roti

Keinsafan itu terbit sekali sekala. Aku harap yang terbit itu kekal dalam memori aku.

Hari hujan. Sungguh lebat. Semua kereta merangkak, perlahan. 
Dalam samar-samar, aku terpandang seorang penunggang motosikal.

Penjual roti. Motosikal penuh dengar roti. Perlahan bergerak, di lorong kiri, di lebuh raya itu. Penangan hujan lebat dan jalan raya yang tidak rata, ada lopak air bertakung. Apabila ada pemandu-pemandu tidak faham bahasa melepasi dia dan mereka memandu di lorong tengah, dia terkena simbahan air. Bukan sekali, bukan dua kali, bukan tiga kali. 

Banyak kali.

Sungguh. Aku rasa kasihan. Kenapa mereka tidak boleh ke kanan, cuba mengelak penjual roti itu?
Sungguh tiada belas kasihan.

Aku melepasi dia, cuba mengelak daripada menyimbah air darinya. Aku pandang cermin sisi kiri. Tidak nampak dia. Hujan lebat, cermin dihujani air tidak berhenti.

Roti-roti itu punca rezeki dia. Berapa sen sangat dia dapat hari-hari. Itu sumber makanan, pakaian dan lain-lain untuk dia, isteri dan anak-anak. Kalau dia menyara ibu-bapanya juga, bagaimana?

Apa dia buat sebaik pulang? Aku yakin ada sebahagian roti-roti sudah basah. Yang tidak basah, pasti pembalut-pembalut akan di keringkan. Memang itu bukan rezeki dia. Tapi, aku masih rasa kasihan. Aku doakan rezeki dia dimurahkan. Amin.

Seringkali aku mengeluh tiada duit, bergaji kecil, rungut itu, rungut ini. Tapi aku tidak fikir, aku jauh lebih mewah dari ramai orang, seperti penjual roti itu. Wahai aku, usah bandingkan hidupku dengan orang-orang kaya. Biar kaya ilmu dan budi bahasa. Usah jadi seperti pemandu tidak reti bahasa.

Harap ingatan ini kekal sebagai peringatan kepada aku.

Nota: Una Alhusna, seronok berbual bersama kamu. <3 div="div">