Klik2 sahaja

Tuesday, March 22, 2011

Mimpi: Beruang dan harimau


Ini bulan Ramadhan. Aku dan M berjalan menuju ke suatu tempat sesudah berbuka puasa. Aku tidak tahu ke mana arah tujunya. Yang aku tahu, ini adalah jalan di dalam kampung aku. Kampung Tasek Padang Kabar.
Kami berjalan. Dan lampu jalan penyuluh cahaya.

Sedang kami berjalan, aku nampak seekor beruang di depan kami. Agak jauh. Namun jelas. Memang beruang.
Dan di belakang beruang itu, seekor harimau. Berjalan ke arah kami. Aku terkejut. Sedikit panik. Aku terpandang rumah-rumah di bahu kiri kanan jalan.

Aku memanggil M, berpaling ke arah kanan jalan dan menolak pintu pagar rumah itu. Berdiri di hadapan pintu rumah, "Assalamualaikum. Assalamualaikum!"

Tidak berjawab salam aku. Aku tahu itu salah. Aku enggan untuk ambil peduli kesalahan itu. Aku menolak pintu itu. Tidak berkunci! Aku masuk ke dalam rumah, begitu juga M.

Di dalam rumah, kami mengintai di balik tingkap nako. Kami menanti harimau dan beruang itu. Sedikit lega. Sedikit berdebar.

Kedengaran derapan kaki dari belakang kami. Seorang perempuan lebih kurang 50-an memandang pelik. Memandang kami. "Ada harimau dan beruang di luar. Kami mahu tumpang sebentar..."

Tidak sempat perempuan itu berkata apa, muncul seorang remaja lelaki dari belakang. Dari dapur barangkali. "Mak, sedap lauk berbuka tadi."
Dia memandang aku dan M, dari atas ke bawah dan dia hanya berseluar dalam.
Oh, panorama itu sungguh tidak menyelerakan.

Terdengar suara dari luar rumah. Kami berpaling serentak ke luar.
Dan pintu dikuak. Seorang lelaki tua, botak di tengah dan sedikit beruban masuk.
"Masih ada harimau dan beruang di luar?" Aku bertanya.
"Masih ada, namun masih jauh dari sini." Ujar lelaki itu.

Aku mengangguk dan tanpa berkata apa, berterima kasih pun tidak. Aku menarik tangan M, keluar dari rumah itu. Kami memandang ke kiri, beruang dan harimau masih melangkah ke arah kami. Perlahan. Aku berpusing ke arah kanan dan berlari sekuat-kuatnya.

Aku tidak tahu hingga ke mana aku berlari. Aku sudah tersedar dari mimpi itu. Dan kenapa M ada dalam mimpi aku.



0 comments: