Klik2 sahaja

Monday, November 28, 2011

Saya rasa saya bukan loser

Seorang kawan ketawakan saya kerana saya tak kenal siapa Kim Kardashian.

Loserkah saya?

Saya rasa tidak. Saya rasa saya lagi cool sebab saya tahu peristiwa 13 Mei. Dia tak tahu.
Saya tahu siapa isteri nombor dua P. Ramlee. Dia fikir allahyarham kahwin dengan Saloma saja.
Saya tahu Aminah Wadud imamkan para lelaki solat jumaat di NY. Dia tidak tahu siapa Aminah Wadud.

Saya bukan rasa saya hebat sangat.

Tapi saya tak gelakkan dia pun walaupun dia tak tahu cerita-cerita di atas.


Nota kaki:
Cerita-cerita yang saya tahu tu bukan wajib diketahui oleh semua orang pun. Dan saya rasa Kim Kardashian pun bukan wajib dikenali oleh semua orang.

Friday, October 14, 2011

Kagum

Bagi aku peristiwa-peristiwa ini mengagumkan atau mungkin aku saja yang reka pandangan ini.

Tiga kali ia berlaku dan sungguh, aku rasa kagum.
Manusia, ciptaan terhebat Dia. Subhanallah. Dia Maha Besar.

Aku dan suami mainkan bacaan ayat suci dan letak headphone di atas perut aku. Aku rasa pergerakannya luar biasa. Lagi dan lagi, bergerak sepanjang ayat-ayat suci dimainkan, sehinggakan aku terpaksa matikan audio untuk tidur.

Aku main Sudoku. Ada 8 set kesemuanya. Sambil menjaga peperiksaan akhir pelajar-pelajar, aku selesaikan permainan minda itu. Seharian, anak di dalam kandungan bergerak aktif. Fikirku, berfikir sekali dengan aku, ya?

Hidup ini indah. Indah dengan manis, masam dan pahit. Malam itu aku menangis memikirkan keindahan hidup aku. Dia bergerak. Banyak pergerakannya dari biasa, sama seperti dua peristiwa di atas. Suami cakap, dia tak suka ibunya sedih.

Mungkin, ini pandangan aku saja. 
Tapi, sesungguhnya, pergerakannya lebih kerap dari biasa.

Apapun, aku kagum. 




Tuesday, August 23, 2011

Ramadhan kali ini

Ramadhan ini terasa lain macam.
Kali pertama Ramadhan bersama suami.
Kali pertama Ramadhan, lepas memandu pulang sendiri ke rumah. Sungguh penat.
Kali pertama Ramadhan, sangat jarang solat tarawih. Sungguh. Tidak larat. Lepas berbuka, harus tidur. 
Kali pertama Ramadhan, tak lalu makan. Biasanya, nak makan itu ini. Siap ada round. Tidak kali ini.
Kali pertama Ramadhan, masak sendiri dengan agak kerap dari biasa. Dan masak nasi ayam? Mahu masak lagi.
Kali pertama Ramadhan bawa anak dalam perut. Sudah bergerak-gerak dan sangat kerap kadang-kadang. Impaknya, diri terasa letih. Kenapa ya?
Kali pertama Ramadhan, banyak merungut kepenatan. Rasa berdosa juga. Semacam tak ikhlas.


Sentiasa akan ada pertama kali untuk semua benda.
Syukur, aku masih hidup di dunia ini untuk merasa nikmat kali ini dan menambah amal jariah dek umur makin banyak, ajal makin dekat.
Terima kasih buat suami yang sungguh aku sayang. Sumpah! Sungguh sabar dengan aku yang kerap meragam itu dan ini. Sensitif lain macam sekarang. 


Tesis oh tesis, pasti Dr. H fikir macam-macam negatif. Aku asyik tangguh waktu hantar. Aduhai, Aing. 

Monday, July 25, 2011

Mad

Yes, I know I can be very sincere in speaking out my thoughts and I would like to apologise for that since not all people prefer honest answer for every single thing. I missed that part.

I wonder why I got mad easily. Maybe because of this pregnancy. Oh, I don't blame the baby. I love my baby.

Anak ibu baik-baik saja. :) Can't wait to see abah this Thursday. We've been together since May and on Thursday onwards, there will be three of us together. And more to come, InsyaAllah. :)

Dear friend,
You left me puzzled and I would like to apologise for all things I've commented. You said that I jump into conclusion easily. Sorry for that. 

And this is what I think. If you don't like what I say, comment, or anything related to my thought, better don't tell me anything because I'm not good at that.

Yet, I am still your friend. 

Friday, July 8, 2011

Sesat

Aku bukan pemandu cekap. Aku juga tidak punyai photographic memory. Jadi aku tidak ingat jalan. Alasan kukuh kah?

Semalam, beria-ia aku tanya jalan pulang dari tempat kerja. Aku sesat juga.
Jadinya, aku bersiar-siar di lebuhraya Guthrie dan aku dapati jalan baru menembusi ke Taman Rimba Templer sudah siap.
Suami cakap, sesat itu bagus. Tahu banyak jalan.
Ya, ada betulnya. Terlajak jalan, boleh kenal banyak jalan.

Oh, tidak sangka aku akan memandu seorang diri ke hulu ke hilir kerana aku memang tidak pandai memandu.
Tahniah, Aing.

Awal bulan depan, nampaknya bertambah jalan akan aku pelajari.
Akan pindah ke rumah baru! (Sedikit teruja)



*Mudah-mudahan hari ini aku jumpa jalan itu. Amin.

Friday, July 1, 2011

Tiga puluh satu bulan dua belas

Ini kisah tiga atau empat tahun lepas. Malam itu, tiga puluh satu hari bulan dua belas.
Itu bermakna, esok tahun baru Masihi. Malam itu, orang ramai akan sambut tahun baru.

Aku di KLCC bersama Baiti. Aku lupa kenapa aku dan dia ke sana.
Usai melakukan apa yang kami kehendaki malam itu, kami mahu pulang. Singgah sebentar di Pasaraya Cold Storage, untuk membeli barang-barang.

Aku terkejut!
Ramai manusia berpakaian dan berambut pelik. Mereka memang pelik.
Aku orang kampung, datang belajar di Kuala Lumpur. Bukan selalu keluar. Bukanlah bermakna jarang keluar.
Aku keluar bila perlu dan pergi ke tempat yang perlu.
Aku tidak datang ke Kuala Lumpur, melawat semua destinasi dan kenal semua budaya sosial.
Ya, aku kampung. Aku senang digelar begitu.

Kami bergegas pulang. Orang ramai makin ramai memenuhi KLCC. Aku rasa cemas. Aku tidak pasti apa Baiti rasa.

Syukur Alhamdulillah, sebaik tiba di hostel, aku rasa selamat. Dan lega. Dan juga penat.
Kami tidur.

Entah pukul berapa. Sudah satu pertiga malam barangkali. Aku terjaga.
Aku terfikir akan kerja melambak. Tugasan kelas dan tugasan kelab. Waktu itu, aku aktif di dalam satu kelab.
Kelab itu satu projek mentoring.

Aku bingkas bangun, ke tandas, mengambil wuduk.
Sudah melepasi pukul dua belas malam. Sudah tahun baru. Tiga puluh satu bulan dua belas itu tarikh lahir arwah abang.
Aku teringat akan dia.
Aku kerjakan qiammulai.
Aku sedekahkan Al-Fatihah dan Yaasin kepada arwah.
Aku doakan arwah tenang di sana.

Usai qiammulai, aku mula bekerja. Aku harus kemaskini nama-nama pelajar-pelajar baru mendaftar untuk mentoring. Aku mula bekerja secara serius. Aku rasa aku begitu fokus.

Dan, aku terganggu.
Terganggu dengan bau itu.
Bunyi kipas siling menghiasi malam aku, ditemani dengan bau itu.
Bau air mawar.
Bulu roma aku tegak. Seriau.
Serius seriau.
Aku rasa semacam. Aku duduk di meja waktu itu.
Aku rasa semcam ada sesuatu di belakangku.
Aku rasa tidak sedap hati.
Aku pindah, duduk di atas katil.
Tiada apa.
Mungkin perasaan sahaja.

Aku beri salam, "Assalamualaikum..."

Diam. Aku terus bekerja. Bau mawar itu, aku rasa sudah hilang.
Dan aku terus bekerja sehingga kedengaran azan Subuh berkumandang.

Aku ke tandas. Usai solat Subuh, aku mahu tidur.
Mengantuk. Sangat!
Sedang aku berwuduk, bau itu datang lagi.
Bau air mawar.
Aku teruskan berwuduk.




Esoknya, aku telefon mak. Aku cerita pada mak. Mak cakap, "Arwah Abang la tu."
Aku tak tahu aku harus percaya atau tidak.
Orang cakap, sebaik jasad dikebumikan, roh tidak lagi kembali ke bumi.
Wallahualam.




Tapi, aku sedar malam itu memang pasti. Bau itu memang air mawar.
Al-Fatihah buat arwah abang di sana.
Jika dia hidup, usianya sudah menjangkau tiga puluh tahun.
Moga tenang arwah di sana.



Wednesday, June 15, 2011

Time

Husband is away for three months. 42 days left. And I am still waiting, counting a day by day.
Running the errands alone. Crying alone.
Oh, I miss my husband badly.
I feel like doing nothing. I become tired and sleepy easily and friends told me that it is normal.
So, sleep and have a rest.
The first twelve weeks is very important.

My thesis is half way done and now, I am thinking about my future.

What am I doing now? Taking break for so long?
Urgh, God give me some strength. 

Saturday, June 4, 2011

Pentingkan Diri

Aku tak tahu apa harus aku lakukan, pentingkan kehendak diri aku atau berfikir secara rasional.
Fikir secara rasional tidak bermaksud aku tidak pentingkan diri.
Persoalan di sini,
Puaskan kehendak diri atau orang lain.
Seakan berkorban.

Kadang-kadang puaskan kehendak orang lain ada bagusnya juga.
Kita berbakti, dapat pahala. Orang lain gembira. Bagus kan gembirakan hati orang lain?
Kita berbakti, kelak di masa hadapan siapa tahu, Tuhan tolong kita.
Itu janji Tuhan, buat baik dibalas baik.

Aku khuatir diri ini tidak ikhlas, jadinya ada benda tersekat di dalam hati.
Itu tidak puas hati.
Dan boleh mencambahkan kesedihan.

Sabar.
Itu kuncinya.

Dan,
Ikhlas.
Lagi satu kunci keramat.

Tapi, kadang-kadang ada masa dan ketika perlu untuk kita pentingkan diri. Penuhi tuntutan diri.



Kehidupan, memang akan sentiasa membuat pilihan.
Ya Tuhan, permudahkanlah urusan hambamu ini. Sungguh, aku tidak tahu.

Tuesday, May 24, 2011

Thursday, May 12, 2011

Silence

Sometimes, there are things that should not be questioned.
There are things that should not be asked.


(Aren't they the same thing?) *Thinking


And there are things that should not be commented.




Because there are times that silence is the best option!



Saturday, May 7, 2011

Lagi Entri Peribadi

Sesungguhnya saya rindu akan suami saya. 
Rindunya. 
Bila terkenang sebak. Sebak dan banjir.
Kenapa aku semanja ini. :'(










Ya Tuhan, mudah-mudahan aku boleh ketemu dia cepat-cepat dan kerap. Amin.

Wednesday, April 27, 2011

Parasit

Parasit-parasit suka datang dan pergi dalam kehidupan kita.

Ini bukan parasit yang kita belajar sewaktu di bangku sekolah dahulu.
Ini parasit yang datang menempek apabila perlukan sesuatu dan melupakan kita apabila telah kecapi apa yang mereka mahu.

Aku bukan mahu dibelai, dipuja, dikenang.
Terima kasih sudah memadai. 
Tetapi ada caranya untuk mengucapkan terima kasih.

Aku bukan mahu rasuah. Aku mahu keikhlasan. 

Ya, aku tidak tahu kamu ikhlas atau tidak. Tapi aku rasa. Macam mana aku rasa?
Sebab aku dah hidup 25 tahun 5 bulan dan dah ada ramai orang cakap terima kasih.
Tak apalah, sekurang-kurangnya kau cakap terima kasih.


Yang tak cakap lepas tu tenggelam. 
Dan mungkin akan timbul lagi sebab perlukan apa-apa bagaimana?




Aku mengungkitkah?
Oh, sudah. Pahalaku ditarik balik.

Thursday, April 14, 2011

Terkenang

Terkenang waktu dulu, mula-mula aku mengajar. Hari itu hujan renyai-renyai. Kelas sunyi dari biasa. Aku sudah agak itu akan berlaku. Yang hadir dalam 8 orang sahaja. Aku teruskan sahaja kelas itu. Itu kelas ganti di hari Sabtu.

Oleh kerana pelajar yang sedikit dan cuaca pula sejuk, aku putuskan untuk Public Speaking tajuk bebas sahaja. Tajuk bebas untuk Public Speaking akan mengundang cerita-cerita yang tidak terjangka dan semestinya kelakar. Mereka sungguh random.

Sedang kami khusyu' mendengar pelajar A punya cerita (Public Speaking itulah), Pelajar S datang, sedikit basah. Dia menunggang motosikal. Itu mungkin sebabnya.

"Yes, S. u are late. 1 hour late. After A is done with his presentation, come to the front and tell us why you are late."

S mengangguk, kelihatan riak wajahnya berubah. Aku tahu dia pelajar yang baik. Tapi hukuman itu tidaklah melampau. Sekadar menyuruhnya bercerita kenapa dia lambat. Tiada salahnya.

A usai. S maju ke depan.

"First of all, I would like to apologise because I was late. I thought I won't be late but I couldn't helped it. I was helping my mother selling her nasi lemak. It was raining. There were not many customers, and I wanted to wait with her."

S diam. Seisi kelas diam. Aku pun terdiam.

"That's it?" Soalku.

S angguk.

"Ok S. Thank you very much. Have your seat, please."


Terbit rasa bersalah. Itu kelas ganti. Hari Sabtu. Mungkin setiap Sabtu, memang dia menolong ibunya, siapa yang tahu. Bila terkenang cerita ini, aku terasa sedikit kejam. Dia pelajar yang baik. Sekali lewat, patut aku biarkan sahaja.


Aku dengar S sudah bekerja. Alhamdulillah. Moga dia menjadi insan berguna kelak. Sewaktu Final Presentation tahun akhir beliau, aku adalah salah seorang panel. Bagus pembentangannya. Terasa bangga menjadi guru bahasa Inggerisnya. Dia praktikkan semua yang diajari.


Rindu mahu mengajar. Ya Tuhan, permudahkan urusan mencari kerjaku. Amin

 




Tuesday, March 29, 2011

Puisi saya tulis ketika umur saya 22 tahun

Animal Kingdom

The king is the Lion clan
Memorandum declared by the folklores

This is a journey
To a new kingdom
Various districts
Various nations


The largest Mammal clan is The Elephants
The largest Reptile clan is The Python
The highest Flying clan is The Ruppell's Griffon
The largest Birds clan is The Ostriches
And the tallest clan is The Giraffes


Hippopotamus are humming
Tigers are singing
Fishes are dancing
Tortoises are thinking
Monkeys are discussing

Rabbits are playing hide-and-seek
Snakes are running


Enjoying their daily lives

But Human clan comes
Perturbing their kingdom
The Animal kingdom

Friday, March 25, 2011

Orang Badwi

Rasulullah sedang memberi tazkirah selepas solat Asar kepada para sahabat. Waktu itu mereka berkumpul di dalam masjid. Tiba-tiba, datang seorang Badwi, masuk ke dalam masjid. Beliau menunaikan solat Asar dan berlalu pergi.

Rasulullah  berkata kepada mereka, "Dia, orang Badwi itu adalah calon penghuni syurga."

Keesokkan harinya, selepas solat Asar, para sahabat mendengar tazkirah dari Rasulullah seperti biasa. Orang Badwi itu, singgah di masjid, menunaikan solat Asar dan berlalu pergi.

Rasulullah mengungkapkan perkara yang sama,  "Dia, orang Badwi itu adalah calon penghuni syurga."

Kejadian ini berlaku lagi sekali di hari ketiga. Mereka mendengar tazkirah Asar, si Badwi datang dan solat. Rasulullah mengungkapkan perkara yang sama.

Ini menimbulkan tanda tanya kepada beberapa para sahabat. Kenapa orang Badwi itu terpilih sebagai calon penghuni syurga. Lantas, mereka menjejaki tempat tinggal si Badwi dan mengunjungi rumah beliau.

Mereka disambut dan dilayan baik oleh orang Badwi itu sebagai tetamu walau itu kali pertama mereka bertemu. Dan mereka menginap di rumah beliau selama tiga hari tiga malam.

Pada hari ketiga, mereka bertanya kepada orang Badwi itu, "Apa yang kamu lakukan? Ibadat kamu biasa saja. Rasulullah mengatakan kamu calon penghuni syurga."

Orang Badwi berkata, "Aku adalah seperti tiga hari tiga malam yang kamu lihat sepanjang kita tinggal bersama."

Mereka merasa pelik.

Orang Badwi berkata lagi. "Ada satu benda yang aku amalkan, aku pelihara diri aku dari hasad dengki dan syak wasangka kepada orang lain. Itu amalan aku."

Mereka terdiam.




Aku terbaca cerita ini dari sebuah majalah berkonsep Islamik dan aku terdetik. Mulia betul hati si Badwi, sedang hati kecil aku selalu berbisik kecil jika aku tidak puas hati akan orang itu. Sudah tentunya prasangka buruk. Ayuh, latih hati untuk buang syak wasangka.



Tapi, aku fikir kita masih perlu berwaspada, cuma dengan cara yang lebih positif. Heh! Aku juga mahu jadi calon penghuni syurga, InsyaAllah. Amin

Tuesday, March 22, 2011

Mimpi: Beruang dan harimau


Ini bulan Ramadhan. Aku dan M berjalan menuju ke suatu tempat sesudah berbuka puasa. Aku tidak tahu ke mana arah tujunya. Yang aku tahu, ini adalah jalan di dalam kampung aku. Kampung Tasek Padang Kabar.
Kami berjalan. Dan lampu jalan penyuluh cahaya.

Sedang kami berjalan, aku nampak seekor beruang di depan kami. Agak jauh. Namun jelas. Memang beruang.
Dan di belakang beruang itu, seekor harimau. Berjalan ke arah kami. Aku terkejut. Sedikit panik. Aku terpandang rumah-rumah di bahu kiri kanan jalan.

Aku memanggil M, berpaling ke arah kanan jalan dan menolak pintu pagar rumah itu. Berdiri di hadapan pintu rumah, "Assalamualaikum. Assalamualaikum!"

Tidak berjawab salam aku. Aku tahu itu salah. Aku enggan untuk ambil peduli kesalahan itu. Aku menolak pintu itu. Tidak berkunci! Aku masuk ke dalam rumah, begitu juga M.

Di dalam rumah, kami mengintai di balik tingkap nako. Kami menanti harimau dan beruang itu. Sedikit lega. Sedikit berdebar.

Kedengaran derapan kaki dari belakang kami. Seorang perempuan lebih kurang 50-an memandang pelik. Memandang kami. "Ada harimau dan beruang di luar. Kami mahu tumpang sebentar..."

Tidak sempat perempuan itu berkata apa, muncul seorang remaja lelaki dari belakang. Dari dapur barangkali. "Mak, sedap lauk berbuka tadi."
Dia memandang aku dan M, dari atas ke bawah dan dia hanya berseluar dalam.
Oh, panorama itu sungguh tidak menyelerakan.

Terdengar suara dari luar rumah. Kami berpaling serentak ke luar.
Dan pintu dikuak. Seorang lelaki tua, botak di tengah dan sedikit beruban masuk.
"Masih ada harimau dan beruang di luar?" Aku bertanya.
"Masih ada, namun masih jauh dari sini." Ujar lelaki itu.

Aku mengangguk dan tanpa berkata apa, berterima kasih pun tidak. Aku menarik tangan M, keluar dari rumah itu. Kami memandang ke kiri, beruang dan harimau masih melangkah ke arah kami. Perlahan. Aku berpusing ke arah kanan dan berlari sekuat-kuatnya.

Aku tidak tahu hingga ke mana aku berlari. Aku sudah tersedar dari mimpi itu. Dan kenapa M ada dalam mimpi aku.



Wednesday, March 9, 2011

Saya, isteri orang

Alhamdulillah, saya sudah bertukar status, saya sudah jadi isteri orang. Macam sekejap masa berlalu. Hujung 2004 kenal dia, awal 2011, nikah dengan dia.


Mak, ayah, adik-adik banyak membantu. Banyak sangat. Kalau nak balas, nak hitung semua, memang tak boleh balas, tak boleh hitung. Mak gembira bukan main. Ayah gembira juga tapi buat buat kool, tak tunjuk. Adik-adik seronok. Walau penat, rasa keikhlasan dan kemeriahan itu terbit dan mekar. Saya sayang kamu semua. Sayang. Sangat. Tak boleh hitung. 


Tak lupa saudara mara yang membantu dan juga jiran-jiran pun banyak membantu. Bantu membantu dari segi tulang empat kerat, pendapat membina, kreativiti dan kritikan ikhlas. Ada yang menghulurkan bantuan kewangan. Terkejut saya. Sungguh, bukan itu yang kami harapkan. Ada yang datang balik hari kerana komitmen kerja, ada yang itu, ada yang ini. Terima kasih semua. 


Bingit kemeriahan semalam terngiang-ngiang.


Ibu mertua, pakcik, makcik, sepupu, ipar duai dan biras-biras. Terima kasih di atas sokongan, bantuan, kerjasama dan apa saja kamu hulurkan. Terima kasih, menerima saya sebagai ahli baru. Saya, seorang yang banyak kekurangan. Saya cuba perbaiki mana kelemahan saya. Terima kasih kerana terima saya sebagai ahli keluarga kamu semua. Terbayang senyuman semua yang hadir ketika majlis ringkas pertunangan dan walimah kedua-dua pihak. Sungguh. Terima kasih.


Kawan-kawan, yang membantu dari segi persiapan dari tunang dan nikah. Kawan-kawan Mister saya dan dua kawan rapat sekolah saya. Ada seorang ni, siap tolong sponsor hantaran. Saya ingat kamu main-main. Beria betul kamu dan kamu serius. Malu, segan. Sungguh saya terharu. Terharu dengan kamu, kamu, kamu semua. Banyak sungguh saya hutang budi.
Tak lupa kawan-kawan bukan Mister atau bukan kawan-kawan  sekolah, iaitu kawan-kawan rapat saya. Kamu teman saya, kamu bagi pendapat, kamu tolong saya, tak lupa yang mengkritik secara ikhlas dan macam-macam lagi. Macam-macam kamu semua tolong, nak senaraikan semua, tidak terfikir saya. Bila difikirkan, satu demi satu muncul di kepala kotak fikiran saya. Memang tidak boleh disenaraikan.


Dan doa kamu semua. Banyak sungguh jasa kamu. Banyak. Bila fikir-fikir balik, saya yang minta tolong banyak dari kamu semua. Saya doakan kelak apabila kamu perlukan pertolongan, saya ada si situ untuk membantu seboleh mana. 


Kawan-kawan yang hadir. Sungguh saya terharu. Maaf, saya tidak berbual panjang, melayan kamu sebagaimana seharusnya saya melayan. Banyak kekurangan dari pihak saya dan suami, saya pohon maaf. Kedatangan, doa, senyuman dan hadiah-hadiah kamu semua (perlu ke tulis hadiah-hadiah?) amat kami hargai.  Tanpa kamu semua tidak lengkap majlis kami.


Dan, untuk suami saya, terima kasih ajak saya nikah dengan kamu. Sungguh saya bersyukur. Saya banyak kekurangan, kurang serba serbi, dari segala segi. Kamu terima saya seadanya. Saya akan cuba perbaiki diri, jadi isteri solehah. Saya minta maaf jika saya tidak mampu. Tapi, saya akan cuba, sentiasa cuba. 






























Saya sayang kamu. Betul. Sangat sayang.
















Yang paling utama, syukur alhamdulillah ya Tuhan. Kau permudahkan urusan kami. Kau makbulkan doa kami. 


Kami memang kerdil. Kami memang lemah.  Aku pohon panduan dan rahmat Kau untuk masjid ini kekal hingga ke syurga dan dikurniakan zuriat-zuriat soleh dan solehah, sihat walafiat kesemuanya. Amin ya Tuhan. Amin ya rabbal alamin.






Nota kaki: Aku rasa entri kali ini sungguh peribadi dan sangat berlainan dari biasa. Oh, ya. Pejam celik pejam celik, sudah sebulan lebih saya menikah. !

Thursday, January 27, 2011

Kecewa

Kekecewaan memang akan selalu menapak di dalam hati. Memang itu lumrah kehidupan.
Nak buat macam mana, ya. Terbit rasa itu. Kemudian, aku mula mengungkit. Kemudian, aku fikir aku sudah tidak ikhlas.


Jangan fikir lagi.
Jangan berhenti memberi.
Dan berilah dengan ikhlas.
Abaikan dia, dia dan dia yang tidak ikhlas.
Biarlah dia tak hargai kau, ramai lagi orang sayang kau.
Bakal suami saya pun sayang saya. (Aku tahu sedikit cheesy)
Tak lupa juga mak ayah saya. Walaupun mak saya sungguh kelam kabut orangnya. 
Yang penting sekali yang Maha Kuasa.
Dia sentiasa ada.




Ok. Dan yang penting juga, ceriakan hati.
Minggu depan nak kahwin. Seronok!