Klik2 sahaja

Tuesday, April 27, 2010

Ustaz MR dan 'Subuh Gajah'


Tatkala azan Subuh berkumandang, ramai pelajar yang masih lena. Mungkin ada yang separa lena. Aku diantaranya yang separa lena. Aku, sedar tak sedar, terdengar orang melangkah keluar masuk dorm. Katil aku letaknya di bahagian depan dorm, 5-6 langkah menuju ke pintu depan. Kesibukan manusia-manusia itu tentunya kedengaran dek lokasi katil aku itu.

Aku rasa silau, ada orang buka suiz lampu depan, mungkin. Namun, aku masih degil. Air kencing syaitan dah segelen agaknya dalam telinga aku. Aku memang tegar dan malas untuk bangun untuk berjemaah solat Subuh di surau asrama. "Sembahyang di dalam dorm, sembahyang juga. Asal sembahyang sudah." Itu yang aku fikir.

Aku tak pasti aku terlelap berapa lama. Yang aku pasti, sebaik aku mandi, aku masuk ke dalam bilik dan aku nampak pelajar-pelajar patuh yang berjemaah di surau, sudah pulang.

Sejuk. Menggigil.
Rasa seperti akan beku. Bak kata orang, sejuk hingga ke tulang hitam.
Aku rasa waktu itu, sekitar pukul 6.45 pagi. Masih gelap.

Aku mencapai telekung dan sejadah. 

Sebaik selesai solat, aku dengar keriuhan di ruang tengah dorm. Di ruang tengah dorm itu ada lagi sebuah pintu. Pintu itu, biasa kami gunakan untuk turun makan kerana berdekatan dengan dewan makan.

"Ustaz MR panggil turun sesiapa yang tidak berjemaah Subuh!" Panik.
"Macam mana ni? Kena turun ke?" Menggelabah.
"Kalau tak turun macam mana?"
"Pakai telekung atau baju sekolah terus?"
"Bawa beg sekolah terus ke?"
"Jom lah, aku takut turun sendiri. Kita pergi ramai-ramai."

Aku seriau. Terbayang wajah Ustaz MR. Bengis. Aku pernah dimarahi di khayalak ramai oleh beliau. Aku melangkah ke arah mereka. Laju. Berdebar juga.

Kami memutuskan untuk turun bertelekung ke surau. (Taktiknya, kami terbangun lambat lalu turun tergesa-gesa ke surau dengan niat mahu solat Subuh di surau juga).

Bak kata orang, matlamat tidak menghalalkan cara. Ustaz MR, mencekak pinggang, menghambat kami ke ruang depan pejabat domestik asrama. Terselit rotan di sebelah tangannya.

Serius. Aku tidak cuak sangat. Mungkin kerana ramai yang tidak turun berjemaah. Kami berjalan laju-laju seperti pelarian ke ruang domestik. Dan kami bertelekung. Ada yang membawa sejadah. 

Ketika itu, ada beberapa pelajar lelaki berlegar-legar di tepi pejabat domestik. Ada yang berbaju sekolah. Ada yang berbaju kemeja T dan berkain pelikat.

"Panggil semua budak lelaki lain, datang sini, tengok ni, perempuan perempuan yang tidak boleh dibuat isteri!" Laung Ustaz MR kepada mereka.

Pelajar-pelajar perempuan yang duduk di tepi, mula rasa malu. Mereka sebolehnya cuba untuk mengelak dari pandangan pelajar-pelajar lelaki.

"Seorang jadi imam di sini. Saya mahu kamu sembahyang berjemaah di sini. Subuh gajah." Tegas Ustaz.
Waktu itu, hari makin cerah. Aku rasa sudah pukul 7 lebih. Mungkin 7.15 pagi. Aku lupa siapa yang mengimami kami. Yang aku ingat, aku solat di atas lantai berterapkan tar itu sambil ketawa.

Aku rasa itu kelakar. Aku solat dua kali Subuh hari itu. Kali kedua, di tepi Y. Y memang tergelak bergegar-gegar, lucu mungkin. Dia bertelekung. Di sebalik telekung itu, dia hanya memakai kain dalam dan baju dalam. 



Hari itu, kami ke sekolah lambat. Pukul 9 baru tiba di sekolah. Ada ujian bulanan subjek Geografi hari itu. Kami ke sekolah sambil ketawa. Apa yang sungguh menggembirakan pun aku tidak tahu apa. Namun, aku ingat, aku antara yang ketawa.

Sudahnya, aku dapat B untuk Geografi bulan itu.  

Denda itu biasa ketika aku berada di sekolah itu. Kalau pelajar lelaki yang tidak berjemaah, tak silap aku, mereka berkain pelikat tanpa baju dan berkopiah berdiri di depan bendera. Mereka diberi satu bekas air dan satu berus gigi. Ustaz MR mencekak pinggang sambil melihat mereka bergilir gilir menggosok gigi dan berkumur menggunakan berus gigi dan bekas air itu.


6 comments:

-NAA- said...

aku la geng suke skali ngn mg tu..hak3...mase tu xinsaf lgsg!

ainguzzle said...

hahahahha. aku nok tau sgt sapa imam kie wktu tuh

ainguzzle said...

hahahahha. aku nok tau sgt sapa imam kie wktu tuh

radin fadli said...

hehehe kelakar jugak ... kata lah kat ustaz saya dah solat tadi...tak buat org solat dua kali

Lina^ Chan said...

kelakarlah aing ni!! hahahaha =D

ainguzzle said...

Radin F:
huu, tak tahu apa ustaz tu akan buat tatkala mendengar pengakuan kami yag dah solat. Ustaz MR memang horror

Kak Lina:
Sekolah tu memang banyak kenangan manis. :)