Klik2 sahaja

Monday, February 15, 2010

Telefon Berenang



Aku punya banyak kisah bersama telefon bimbit. Dahulu punya cerita. Telefon bimbit aku suka berenang dalam apa apa berbentuk cecair. 

Kisah 1:

Aku sedang berborak bersama teman sebilik. Aku tidak tahu apa yang aku fikirkan. Yang aku ingat, aku baru sudah makan nasi putih tomyam. Sisa tomyam masih di dalam mangkuk. Kuah tomyam menggiurkan untuk dihirup. Aku memegang telefon bimbit dan terlucut jatuh ke dalam 'kolam' tomyam. Aku separa menjerit. "Ya rabbi!" 
Teman sebilik ku, turut terkejut. Aku dengan tabah, membogelkan telefon itu, dan menjemurnya. Keesokan harinya, aku beli pakaian 'housing' baru telefon aku.


Kisah 2:

Aku sedang makan di kafeteria bersama seorang teman. Dia minta  aku hulur telefon  bimbit aku. Sambil mata menatap kaca televisyen, aku hulur telefon bimbit aku. Aku fikir, telah bersambut, aku lepaskan telefon bimbit aku. Jatuh. Sekali lagi ke dalam mangkuk tomyam. "Aing!" Jerit si teman. "Ya," aku tabah mencapai tisu, mengelap telefon bimbit aku. Aku fikir, kena beli pakaian 'housing' baru lagi.


Kisah 3:

Aku sedang bergegas ke satu tempat untuk menghadiri program selaku pelajar yang konon macam aktif kokurikulum. Sambil berjalan, aku menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas. Entah macam mana, telefon bimbit aku terlucut jatuh, tergolek manja, jatuh ke dalam longkang. Longkang dalam. Aku terkesima. Seorang jejaka baik hati, juga terkesima. Dia sedang berjalan bertentangan arah dengan aku. Aku pandang dan senyum tawar. Dia kasihan, barangkali. Menawarkan dirinya tanpa berkata apa, mengutip telefon bimbit ku. 
"Housing sudah pecah," katanya. "Tak mengapa. Tak mengapa. Terima kasih," aku senyum dan mencapai telefon itu. Aku bogelkan telefon bimbitku dan mengelap kotoran longkang yang tercemar.
Selepas seminggu baru aku beli pakaian 'housing' baru. Itu pun setelah mendapat kerlingan tajam seorang lelaki, di dalam Watson ketika aku gigih menaip mesej sistem pesanan ringkas menggunakan telefon bimbit terbogel itu. Aku malu.

Ini rupa telefon saya. Ketika baru dibeli. Tahun 2004


Friday, February 5, 2010

Kami Waktu Muda-Muda Dulu


Rindu waktu dulu. Sekarang. Teringat sangat. Serius. Teringat D dan Pow. Kawan-kawan perempuan ketika tahun kedua dan ketiga pengajian.

Satu hari, aku diserang penembak telefon bimbit. Telefon berdering, aku angkat. Lelaki itu, remaja belasan tahun, aku kira, bertanya siapa aku. Kenapa aku telefon dia. Sedang dia yang berkali-kali menghubungi aku. Baru belajar pakai telefon bimbit aku kira.

Malam itu, aku lepak dan melembah bersama D, telefon berbunyi. Aku biarkan.

D: Kenapa kau tak angkat
Aku: Budak mana entah tembak-tembak aku. Aku malas nak layan. Dari siang tadi. Baru belajar pakai telefon bimbit agaknya.
D: Hulur telefon kau. Aku mahu nombor telefon bimbit dia.
Aku: Kau mahu buat apa (Hulurkan kepada D)
D: (Menyambut telefon bimbit itu)

D menghantar satu mesej pesanan ringkas kepadanya:

Awak mahu apa dengan isteri saya. Dari tadi kacau dia. 
Sekarang kita sudah daftar nama untuk telefon bimbit. 
Saya boleh cek nombor awak di Celcom.

(Waktu itu, undang-undang baru menetapkan, semua nombor telefon bimbit didaftarkan baru berkuatkuasa dan dia pengguna Celcom)

Aku: (Ketawa)

Kurang 2 minit. Dia balas mesej itu:

Salam. Ampun, bang. Kirim salam pada isteri abang. Selamat Hari Raya.

(Waktu itu bulan Ramadhan)

Aku dan D: (Ketawa dan meneruskan perbualan).

Ini kenangan biasa tapi aku rasa ini bermakna. (Senyum seorang diri).

Monday, February 1, 2010

Aku Sangat Marah!



Aku sangat marah sekarang. Sangat. Aku rasa aku kurang profesional, aku tak tahu kenapa. Aku tahu aku bersalah dan kurang sabar dan cepat melenting. Tapi, yang pasti aku marah. Aku rasa keputusan mereka kurang rasional dan tidak adil. 

Aku: Assalamualaikum. Saya nak hantar borang ni
Lelaki: Waalaikumussalam. (Mencapai borang dan meneliti)
Aku: Boleh pakai bilik ni?
Lelaki: (Masih meneliti)
Aku: (Menunggu)
Lelaki: Siapa pengajar?
Aku: Saya
Lelaki: Awak pelajar bukan? 
Aku: Ya
Lelaki: Duduk. (Mengeluh). Begini, kami tidak boleh luluskan permohonan untuk staf tidak tetap
Aku: (Mengerutkan kening). Saya buat kelas di sini semester lepas, boleh. Peraturan baru ke?
Lelaki: Sudah lama. Saya rasa di belakang borang ini sudah nyata dijelaskan peraturan-peraturannya
Aku: Saya buat semester lepas, diluluskan
Lelaki: Mungkin kami tersilap pandang. Tapi, saya tak boleh luluskan
Aku: Kenapa ya? Ini untuk kelas. Pelajar-pelajar saya, pelajar-pelajar tetap di sini. Kelas ini wajib diambil. Kenapa tidak boleh?
Lelaki: Sebab kelas macam awak mengajar ni, bukan dari kuliyah, tapi dari unit. CCAC. Kami pernah benarkan, tapi mereka bawa makanan. Buat jamuan. Buat program

Muka aku mula berubah. Tidak paus hati.
Aku: OK. Saya buat kelas. Saya mengajar. Itu pun tak boleh?
Lelaki: Tak boleh. Sebab awak sambilan. Orang yang menandatangani borang ni mesti hadir malam tu. Saya tahu, awak minta tandatangan Direktor, tapi dia bukan pengajar. Dia tidak hadir malam itu
Aku: Tapi, ini untuk kelas wajib. Tak adil lah macam ni. Mereka wajib ambil subjek ini. Kenapa mereka dilarang untuk guna kemudahan perpustakaan. Ini bukan program. Ini kelas

(Aku rasa alasan dia sudah berpusing-pusing).

Lelaki: Saya boleh benarkan jika awak ada surat menyatakan awak staf 
Aku: Saya ada
Lelaki: Staf tetap?
Aku: Sambilan. Kontrak
Lelaki: Tak boleh. Tetap sahaja. Kalau awak staf tetap saya akan benarkan
Aku: OK. Takpela. (Mengangkat kaki untuk pergi)
Lelaki: Kalau awak nak guna juga...
Aku: Takpe. Awak simpan je borang tu. (Pandang sekilas)
Lelaki: (Sedikit melaung, sebab aku sudah pergi) Terima kasih
Aku: (Tak pandang. Marah)

Aku berlalu pergi dengan bengang. Aku tahu aku salah. Aku rasa bersalah sebab lelaki itu bercakap tenang. Aku agak tenang tapi intonasi aku menunjukkan aku tidak tenang, dan kurang puas hati. Macam mana aku akan berpuas hati, aku sebagai tenaga pengajar dilarang menggunakan perpustakaan untuk mengajar pelajar-pelajar universiti ini. Kenapa? Mereka pelajar di sini. Aku bukan buat program. Aku buat kelas. Mereka bukan daftar kelas ini suka-suki. Ini kelas fasa ketiga untuk kelas kemahiran mereka. Kalau mereka gagal, kena ulang semester, wajib lulus untuk graduasi. Aku konon nak menunjukkan kelas ini penting. Aku tahu, tak penting mana. Tapi, kenapa aku dilarang menggunakan kemudahan universiti untuk mengajar subjek wajib universiti? Atas alasaan aku staf tidak tetap.

Habis, bagaimana staf tetap lain, yang menjadi pengajar sambilan subjek ini? Mereka sambilan juga tapi mereka adalah staf tetap memandangkan mereka ingin cari duit lebih, lalu mereka pohon mengajar subjek ini. Mereka bukan pensyarah. Mereka staf-staf pengurusan. Dari pelbagai unit. Aku rasa status kami untuk hal ini sama. Aku pengajar sambilan untuk subjek ini, sama juga mereka. Cuma, mereka staf tetap di sini untuk unit lain, manakala aku, pelajar di sini. 

Aku tahu aku salah. Tapi (untuk menyedapkan hati), aku rasa aku tak salah sebab sedikit ketidakadilan berlaku. (Aku yakin, ia berlaku). Tapi, lelaki itu hanya menjalankan tugas. Aku rasa bersalah pada dia. Rasa berdosa, rasa macam kena minta maaf. Aku dah lupa muka dia. Aku harap, dia maafkan aku sebelum dia tidur malam ini. Atau, aku harap, dia langsung tidak terasa hati dengan aku. 

Sekarang, aku kena fikir di mana aku harus buat kelas itu. Kelas ganti.

Kesimpulan: Jaga hubungan sesama manusia sementara kita masih hidup.