Klik2 sahaja

Monday, December 1, 2008

Adik

Kakak sedang membaca komik di dalam bilik tidurnya. Tiba-tiba Adik datang, menjenggukkan kepala di sebalik pintu.

Kakak mengangkat kening. “Nak apa?”

“2-3 minit pukul berapa?”

Kakak mengerutkan kening, berfikir. “2-3 minit tu 2-3 minitlah”.

Adik sengih mempamerkan barisan gigi hadapan yang rongak. Dia berlalu pergi. Kakak meneruskan pembacaannya yang tergendala sebentar tadi.

“2-3 minit pukul berapa?” Adik datang lagi. Kali ini dia menolak daun pintu dan melangkah masuk ke dalam bilik. Dia masih tersengih. Kakak melihat jam loceng di atas meja. “Pukul 2.39 petang,” getus hati kecilnya. “Pukul 2.42,” kata Kakak setelah mencongak di dalam otak. Selepas 3 minit berlalu, sudah pasti 2.42 petang jika dikira dari waktu sekarang.

Adik sengih dan berlalu pergi.

Kakak berfikir seketika. “Dia mahu buat apa?” Kelakuan Adik yang agak pelik itu tidak diendahkannya. Dia meneruskan pembacaannya.

Adik datang lagi selepas 2 minit. “Kakak, pukul berapa?”

“2.41”.

Adik keluar. Kakak tidak mengambil kisah kelakuan adiknya itu.

“Pukul berapa?” Adik datang lagi selepas 2 minit. Dia sengih.

“2.43”.

“Yea!”

Adik menjerit gembira. Kakak bertambah hairan dengan kelakuan kanak-kanak berumur 7 tahun itu. Tidak sampai seminit, Adik datang membawa mi cawan segera. Dia memakai topi besbol. Tuala diikat dipinggangnya seakan dia memakai apron.

“Jeng, jeng, jeng!” Mi cawan segera itu dihulurkan kepada Kakak. Kakak bingkas bangun dari katil. Dia sedikit terkejut. Mi cawan segera diambil dari tangan adik. Adik berlari keluar. Kemudian, dia datang dengan membawa satu lagi mi cawan segera.

“Adik masak sendiri ke?” Soal Kakak.

“Yelah,” Adik sengih.

“Macam mana?” Soal Kakak.

“Adik baca dekat arahan. Tuang air panas, tunggu selepas 2-3 minit,” cerita Adik.

“Mana ambil air panas?” Soal Kakak.

“Masak lah. Adik guna kerusi nak ambil air dari singki. Lepas tu, Adik letak atas pemanas guna kerusi juga. Mak cakap, nak masak air, jangan letak sampai lebih paras merah,” kata Adik. Dia meniup mi segeranya.

“Terima kasih,” Kakak terharu.

“Sama-sama,” Adik sengih.

“Lain kali kalau nak masak, suruh akak tuang air panas tau. Berat cerek tu. Bahaya,” Kakak sedikit gusar.

Adik angguk. Persoalan Kakak telah terjawab. Rupa-rupanya Adik menganggar masa untuk menunggu mi segera masak. Tindakan Adik memang bahaya. Kakak ingin sahaja memarahinya tetapi dihalang niat itu. Adik cuba untuk melakukan sesuatu yang bermakna kepada Kakak.

Kadang-kadang di dalam kehidupan ini, sebagai kakak atau abang, kita hanya tahu memarahi adik-adik kita yang masih kecil. Marah kita bukan marah kebencian tetapi tanda sayang. Namun begitu, adakah kita memikirkan kesan amarah kita kepada mereka? Adakah kita terfikir yang mereka akan sedih dan kecil hati dengan amarah kita yang kadangkala agak melampau? Walaupun kita lagi lama hidup dari mereka, itu tidak bermakna kita betul dalam semua perkara. Kita perlu fikir kenapa mereka melakukan itu dan ini? Teguran adalah jalan terbaik selain daripada marah. Kanak-kanak lebih patuh jika ditegur. Teguran pula hendaklah dilakukan dalam keadaan sepatutnya. Kadang-kadang, marah memang diperlukan untuk mendidik mereka tetapi ia tidak wajar dipraktikkan selalu kerana ia hanya mengundang ketakutan dan kegerunan mereka terhadap kita. Kita tidak mahu ditakuti sebaliknya dihormati.

Kadang-kadang kita tak sedar akan kemarahan kita terhadap mereka melampaui had yang sepatutnya. Mereka hanyalah insan kerdil yang bergelar kanak-kanak. Mereka melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang seperti mana kita. Namun, adakah orang dewasa sering berfikir panjang di dalam melakukan sesuatu? Fikirkan. Kadang-kadang, kita sendiri bertindak mengalahkan kanak-kanak. Kenapa harus kita memarahi mereka? Lainlah kalau mereka mencuri atau pun membunuh. Kalau mereka malas sembahyang, apa yang kita lakukan? Adakah kita memarahi mereka seperti mana kita memarahi mereka kerana berebut untuk memegang kawalan automatik televisyen?

Sebeleum memarahi mereka, kita perlu fikir dahulu. Adakah tindakan kita itu betul? Kedewasaan kita bukan tiket untuk mencari kesalahan adik-adik kita. Untuk yang tiada adik, pasti sukar kalian gambarkan suasana kanak-kanak bising, meraung, bertempik, berlari ke sana sini dan rumah yang bersepah dengan mainan. Adakah ini keburukan mempunyai adik? Aku rasa, inilah keistimewaan mempunyai adik. Aku tak kata bagi yang tak mempunyai adik, kalian kurang bernasib baik. Mungkin ada nikmat lain yang kami (sebagai kakak dan abang yang mempunyai adik) tidak dapat rasai seperti mana kalian rasai. Sama seperti kalian tidak dapat merasai apa yang kami rasai sebagai kakak dan abang.

Menduga perasaan juga melayan karenah kanak-kanak. Lebih-lebih lagi kanak-kanak yang degil. Memang terbakar hati aku kalau melayan adik aku yang berumur 3 tahun ni. Menangis dan meraung seakan aku ni pembunuh bersiri. Itu tak nak, ini tak nak. Yang dia reti hanya lah mengamuk sambil meggelepar dan menjerit serta menangis dengan suara yang sangat kuat. Menggelepar di atas lantai dengan pusingan 360 darjah. Menangis break-dance agaknya.

Tetapi, apabila aku fikirkan balik, kenapa perlu aku marah? Mereka masih kecil. Berak pun, kita yang cuci. Makan masih bersuap. Minum susu, dengan menggunakan botol. Kalau berlari, mereka seringkali terjatuh. Bercakap pun tak berapa betul. kalau nak mandi, kita yang mandikan mereka. Mereka hanyalah insan kerdil yang baru belajar untuk hidup. Kemarahan kita terhadap mereka jika dihamburkan hanya menunjukkan ketidak matangan kita sebagai seorang yang kononnya telah dewasa.

-Ainguzzle-


Jadi, siapa yang masih kanak-kanak di sini?